Tuesday, March 23, 2010 0 comments By: biro dakwah JPP

Adakah Si Kaya Ini Gila Atau Kita Yang Mabuk?

Are you mad? Itu yang dikatakan oleh akauntan jutawan Brian Burnie, apabila majikannyamenyatakan hasrat untuk menderma hotel mewahnya bernilai sekitar GBP 20 juta.
Perasaan saya bercampur-campur setiap kali membaca berita sebegini. Minda pula berkecamuk memikirkan rasional dan dorongan yang memberikan mereka kemampuan untuk menderma sebgini banyak. Kemungkinan, ramai yang akan terus bersangka buruk apabila membaca kisah dan berita dermawan si kaya seperti ini. Tidak dinafikan, ramai juga yang merasa amat kagum dengan kedermawanan mereka. Mari kita cuba cari sebab-sebab luaran kedermawanan mereka dalam tulisan ini.

Kalau dulu saya sering membaca pengasas Microsoft, Bill Gates, menderma di sana dan sini di samping yayasan yang telah ditubuhkannya. Semalam seorang lagi jutawan di Britain melakukan perkara yang sama.

SUMBANGAN BILL GATES
Pada bulan Jun 2008, Bill Gates yang berumur 52 tahun telah membuat pengumuman akan meninggalkan sejumlah hartanya yang bernilai USD 58 billion untuk tujuan kebajikan dalam surat wasiatnya.
Wang itu akan diletakkan di dalam Yayasan Bill and Melinda Gates, untuk membiayai kajian kesaihatan dan perubatan serta pendidikan di seluruh dunia.
Apa yang mengkagumkan saya kata-katanya :-
We want to give it back to society in the way that it will have the most positive impact, I want to make a positive contribution to the world."

WARREN BUFFET DAN DERMANYA
Pada Jun 2006 yang lalu, saya telah pun terkejut membaca berita billionaire bernama Warren Buffet, 75, yang melakukan derma amal kepada Yayasan Gates untuk tujuan yang sama. Jumlah yang didermakan bukan kecil malah berjumlah USD 44 billion.

 Moguls, from left, Bill Gates and Warren Buffett, the world's two richest men, will partner to create the world's most powerful charity.(ABCNEWS.com)

Lebih menarik dari biasa, Buffet juga mahukan setiap sumbangannya yang dibuat secara tahunan itu, digunakan pada tahun tersebut juga dan tidak mahu ditangguh-tangguh.

Semalam (14 Mei 2009), saya ada membaca kisah seorang jutawan Britain yang mendermakan hotel mewahnya, hotel yang asalnya sebuah rumah besar lama berusia beratus tahun, diubahsuai dengan kos sebanyak GBP 16 juta. Pada asalnya dia ingin menggunakan seluruh keuntungan dari hotel mewah itu untuk tujuan kebajikan, namun ditukar ideanya. Kini dengan rasminya hotel mewah itu akan dijual dan seluruh hasilnya akan didermakan kepada persatuan kanser. Kos jualannya sudah tentu melebihi GBP 20 juta (RM 110  juta).

Berikut tiga kata-kata beliau yang menarik hati saya :
"While owning property and making money is important, it is not as important as people."
'The biggest thing with most people is money, but with me it is not. I want to give it up and do something more for others.
"We can all do something by leaving money to charity when we die, but why don't we do something while we are still living?'

Apa yang disebut pertama tadi bertepatan dengan tanggungjawab sosial dalam Islam. Malah di dalam Islam pembangunan jatidiri individu rakyat sememangnya jauh lebih penting dari pembangunan material seperti bangunan pencakar langit dan lainnya.
Yang kedua pula bertepatan dengan ajaran Islam agar tidak bersikap selfish dan sentiasa memikirkan manfaat yang diperolehi untuk dikongsi dengan orang ramai, dan yang ketiga pula bertepatan dengan sabdaan Nabi :-
Ertinya : dan janganlah kamu bertangguh-tangguh ( dalam bersedeqah) sehingga sampainya ( nyawamu) di kerongkong (hampir mati)" (Riwayat Al-Bukhari, no 1353)

APA LAGI MOTIF MEREKA ?

Saya suka untuk memikirkan motif positif dan sihat berbanding agenda terselindung ketiga-tiga mereka. Setelah menolak andaian-andaian negatif dan setelah membaca dengan lebih lanjut, barulah terzahir beberapa sebab yang rasional, antara yang paling utama adalah falsafah mereka dalam membentuk masa depan anak dan ahli keluarga mereka.
Mereka mengambil keputusan menderma kerana tidak mahu meninggalkan harta yang terlalu banyak kepada anak-anak, kerana kelak akan membebankan anak-anak mereka sendiri, malahan  meninggalkan kesemua harta-harta yang melimpah ruah itu juga dianggap tidak rasional .

 Falsafah mereka, tinggalkan secukup-cukup sahaja namun anak-anak masih perlu terus berusaha.
Buffet pernah berkata di majalah Fortune :
"Giving your children too much money is a burden, not a gift, and is not a rational thing to do with all that wealth."
"A very rich person would leave his kids enough to do anything, but not enough to do nothing,'"

Saya mengira falsafah itu ada benarnya, masakan tidak, si anak pasti tidak akan dapat berkongsi rasa sukar, cabaran dan jerit perih yang dilalui para ayahnya; malah si anak akan ditinggalkan lemas dalam kekayaan mega tanpa sebarang usaha, kelak tiada apa lagi yang relevan untuk mereka lakukan kecuali menghabiskan harta yang terlalu lumayan itu. Hasilnya, otak mereka pasti menjadi mati dan lebih dahsyat akan mencatatkan sejarah buruk dalam keluarga kerana terlalu lalai untuk menghabiskan harta, akhirnya menjadi beban dan masalah kepada masyarakat. Tiada manfaat yang diberinya kepada masyarakat berbanding ayah-ayahnya yang bertungkus lumus mencapai apa yang berada di hadapan matanya. Kejayaan ayah mereka dicapai dengan seribu satu macam manfaat dipanjnagkan kepada orang ramai, namun si anak akan menghancurkan segalanya.

Tujuh tahun lepas, Buffet pernah memberitahu di dalam ABC New "Nightline", bahawa dilahirkan dalam kemewahan tidak melayakkan anak-anaknya untuk menikmati keseluruhan harta itu.

Tidak dinafikan, ramai yang memuji tindakan mereka berdua dan tidak kurang juga yang mencela dengan pelbagai anggapan. Antara kritikan kepada Gates, boleh rujuk di link ini.

JUTAWAN DAN HARTAWAN MUSLIM

Apapun kritikan terhadap hartawan bukan Islam, bagi jutawan Muslim, Islam menganjurkan pendekatan yang sedikit berbeza, banyak pula yang sama.
Yang paling berbeza adalah keperluan jutawan Muslim untuk menyembunyikan sumbangan dan sedeqahnya. Allah swt berfirman :
وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُم
Ertinya : "Dan sekiranya kamu menyembunyikannya (sedeqahmu) dan memberikannya kepada faqir miskin, demikian adalah LEBIH baik bagimu"
Nabi s.a.w bersabda :-
صدقة السر تطفىء غضب الرب
Ertinya : Sedeqah yang dilakukan secara sembunyi memadamkan kemurkaan Allah swt.  
Memang benar, jutawan Muslim yang bersifat dermawan memang ramai, banyak juga sumbangan yang telah dihulurkan kepada pelbagai pihak sama ada secara senyap atau terbuka. Tan Sri Mokhtar Al-Bukhari adalah satu ikon utama yang pasti terlintas di minda kita apabila sahaja membuka cerita sebegini. Saya secara peribadi juga mengenali beberapa individu dermawan seperti Dato Hj Rameli Musa, Pengasas Ingress Corporation Berhad, dan ramai lagi.
Semasa saya pulang ke Malaysia dua minggu yang lalu, tatkala berbual-bual dengan Ust Zahazan di syarikat Telaga Biru Sdn Bhd, beliau ada menyebut berkenaan kejayaan seorang usahawan Muslim bernama Ali Hassan Bin Mohd Hassan, yang merupakan pengasas al-Ikhsan Sport Sdn Bhd, jualan syarikat ini dikatakan sudah mencecah RM 100 juta setahun dengan cawangannya yang mencecah 58 buah. 

Apabila ditanya rahsia kejayaannya beliau menjawab :-
Amalkan 3 perkara, :
Pertama : Penuhi hak Allah tanpa berkira-kira (iaitulah zakat sehingga syarikat ini dikatakan penyumbang zakat terbesar di Johor).
Kedua : Jalankan tanggungjawab pada manusia
Ketiga : Ramai yang belum mampu melakukan, iaitu penuhi hajat ibu, walaupun saudara terpaksa mengorbankan banyak kepentingan

Memang benar, jawapan yang hampir sama sering saya dengari dari usahawan muslim yang berjaya, sumbangan mereka dibuat secara senyap-senyap. Segala puji bagi Allah dan tahniah di atas sumbangan dan sedeqah mereka.

Namun demikian, jumlah golongan ini masih belum cukup besar,  masih ramai lagi hartawan dan jutawan Muslim yang masih belum dan terlalu berkira-kira untuk menyumbang, kita sewajarnya lebih laju dari hartawan bukan Islam yang saya sebutkan di atas.
Kita sewajarnya lebih sedar bahawa menyumbang sama ada melalui zakat yang wajib atau sedeqah yang sunat akan menambah berkat dan rezeki dari Allah swt. Menambah rezeki yang bersifat spiritual. Sabda Nabi s.a.w :-
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Ertinya : Tiadalah harta itu berkurang disebabkan oleh sedeqah ( riwayat Muslim)
Kini, sudah ramai yang merasakan kesan sumbangan yang dikeluarkan adalah pertambahan, bukan kurang. Malah ia turut dirasa oleh hartawan bukan Islam seperti Bill Gates, beliau pernah menyebutkan hal ini dalam satu majalah antarabangsa satu ketika dahulu (namun saya gagal mencari keratannya).

PARA RIBUAN, JANGAN BERALASAN

Jika mereka sudah merasakan nikmah kebahagiaan hasil pemberian itu, bilakah kita pula?. Jangan ditunggu kita bergelar jutawan atau billionaire untuk bertindak, mulakan dari sekarang secara kecil-kecilan sesuai dengan kemampuan kita. Walau adakalanya kita tidak layak untuk membayar zakat wajib harta atau pendapatan kerana beban kewangan yang lebih besar dari pendapatan, namun jangan sekali menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menderma dan menyumbang. Moga dengan sumbangan kecil dan ikhlas itu, mampu menjadi pembersih harta kita dan penyuburnya.
Juga ingatlah, derma dari seorang yang sikit harta lebih besar ganjarannya dari derma individu yang besar hartanya. Sebuah hadis menyebut :-
أي الصدقة أفضل؟ قال: سرّ إلى فقير أو جَهْد من مُقلّ
Ertinya ; Sedeqah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikelaurkan dalam keadaan sedikit harta ( Riwayat Ahmad 5/178 ; Tafsir Ibn Kathir, 1/701)
Ikhlaskan niat dan jangan pula ‘kotor mulut' mencela apabila sedeqah yang diberi kelihatan tidak menambah keuntungan duniawi dalam jangka masa yang segera. Saya bimbang, ada yang menderma dengan niat yang satu, iaitu untuk mengharapkan untung berganda setelah dimotivasikan oleh para ustaz bahawa bersedeqah boleh menambah keuntungan, lalu apabila tiada pertambahan lalu dicelanya hadis, dicelanya ustaz, disesalinya sedeqah yang pernah di lakukan dahulu sebagai silap dan salah. Ingatlah firman Allah swt :-
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ ثُمَّ لاَ يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُواُ مَنًّا وَلاَ أَذًى لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
Ertinya : "Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati " (Al-Baqarah : 262)

Lihat dan fahamilah dalam-dalam erti yang tersurat pada ayat ini, setiap pemberian sedeqah mestilah diriingi oleh rasa puas, gembira, tiada khuatir, tiada sedih dan sesal.
Bukankah pakar-pakar motivasi sedunia malah doktor menyatakan, antara faktor yang boleh memberikan kesihatan tubuh, awet muda dan fikiran terfokus adalah KURANG STRESS dan hati yang gembira. Bergembiralah wahai penderma, gembira memberi dan menyumbang sama ada ilmu, harta, masa dan tenaga dengan rela dan redha. Nesacaya kita akan lebih tenang dan tersenyum, prestasi boleh meningkat, idea boleh bercambah.
Bukankah Allah swt yang menggerakkan hati-hati dan minda manusia lain sama ada untuk memberi kita kontrak dan tender, mengambil kita bekerja, menaikkan pangkat, melantik kita untuk jawatan itu dan ini, memberi kepercayaan utnuk tugasan baru yang lumayan dan lain-lain. Lalu yakinilah dan bersangka baiklah dengan Allah swt, nescaya Allah akan menunaikan sangkaan baik kita.

Nah, jika benar-benar kita langsung tidak mampu walaupun 10 sen, ada sedeqah lain yang mampu kita tunaikan dengan cemerlang tanpa memerlukan wang, iaitu ajaklah orang kepada kebaikan dan laranglah mereka dari kemungkaran. Nabi saw berdialog dengan para sahabat, seperti berikut : -
Ertinya : Nabi berkata : pada setiap muslim tuntutan untuk bersedeqah
Sahabat berkata : Bagaimana jiak tidak mampu?
Nabi jawab : Usahalah dengan kedua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedqahlah.
Sahabat bertanya : Bagaimana jika masih tidak mampu ?
Nabi menjawab : Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu)
Sahabat bertanya : Bagaimana jika masih tidak mampu?
Nabi menjawab : Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka dari kemungkaran
Sahabat bertanya lagi : Bagaimana jika masih tidak mampu?
Nabi menjawab : Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedeqah ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
KESIMPULAN

Terlalu ramai orang yang sentiasa sibuk memikir cara untuk MENDAPATKAN wang dan harta untuk dirinya, ye, MENCARI WANG, MENAMBAH WANG, MENGUMPUL WANG. Siang, malam pagi dan petang berhempas pulas minda dan tenaga mencari jalan. Sehingga ingin sahaja dilanggar semua jalan yang berpotensi, walau ia haram atau syubhat. Yang penting dalam mindanya, adalah poketnya semakin tebal. Sedangkan seluruh penghumpulan itu sekadar di dunia yang pendek ini.

Malangnya, sangat kurang yang berhempas pulas memikirkan bagaimana untuk MENYUMBANG WANG, MEMBERI WANG, SEDEQAH WANG. Bukankah memberi ini demi kehiduapan selepas kematian yang terlalu amat panjang masanya.  Mulakan berfikir untuknya, sebenarnya untuk kita juga.

Brian Burnie, jika seorang jutawan bukan Islam warga Britain boleh berkata dan bertindak berdasarkan kata-katanya ini:
"We live in a "me, me, me" society and it has always been important to me to think of others"

Lalu apa lagi alasan kita sebagai muslim, bersedeqahlah sebelum sampai nyawa di kerongkong... Adakah si kaya ini gila kerana mendermakan wang yang begitu banyak? atau kita yang mabuk dengan pencarian wang secara selfish tanpa sebarang pemberian?

Sekian,


Oleh
Zaharuddin Abd Rahman


Buang Bayi: Kejutan Budaya di Tanah Air Sendiri

“Rizal, hati-hati di luar negara nanti. Takut terkena kejutan budaya!” kata emak.
Kami berpelukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang, malam September 1993.
Bukan emak sahaja. Saudara mara, pegawai penaja, kawan-kawan, semua berpesan dengan pesanan yang sama.
“Hati-hati dengan kejutan budaya”

Tetapi setibanya saya di Jordan, saya tidak mengalami apa yang dinamakan sebagai kejutan budaya. Malah selepas tamat pengajian dan berhijrah ke Eropah, saya tidak mengalaminya. Semuanya masih berada di dalam lingkungan jangkaan saya. Keganjilan yang berlaku adalah keganjilan akibat perbezaan latar belakang budaya dan agama. Namun ia tidak berhasil mencetuskan kejutan.
Kali pertama saya dilanda kejutan budaya ialah ketika pulang ke tanah air sendiri. Pulang selepas 11 tahun hidup di perantauan. Pulang dengan kesungguhan untuk sehidup semati dengan kampung halaman. Tetapi semangat berkobar-kobar itu tercabar. Dibakar oleh kejutan yang sungguh menakutkan.
Antara berita awal yang saya tonton di kaca televisyen ialah seorang bayi yang tidak dialu-alukan kejadiannya, dibuang oleh si ibu ke dalam plastik sampah hitam dan dicampakkan daripada atas sebuah rumah pangsa! Wallahi, saya tidak pernah mendengar kejadian seumpama itu di mana-mana penjuru alam yang saya pernah bertamu. Tetapi ia berlaku di tanah air sendiri.
Saya cuba untuk tidak membanding-bandingkan apa yang berlaku di tanah air dengan apa yang dialami selama mastautin di luar negara. Bersungguh-sungguh saya memaksa diri untuk menghadam kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri’. Tetapi disebabkan oleh budaya kita sendiri yang gemarkan perbandingan terpanjang, terbesar, terlebar, tertinggi, dan segala yang ter… itu, maka haruslah kita membuat perbandingan pada sesuatu yang lebih serius.
Gejala membuang dan membunuh bayi ini adalah simptom.
Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah pun menceritakan dua bentuk pembunuhan, yang disandingkan bersama dosa induk yang menjadi puncanya.
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang sangat besar” [al-Israa' 17: 31]
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan ahli warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak)” [Al-Israa' 17: 33]
Kedua-dua ayat di atas menjelaskan betapa besarnya hukuman ke atas perbuatan membunuh. Betapa mulianya nyawa manusia di sisi Allah. Betapa merbahayanya kehidupan manusia apabila pembunuhan mengalami proses normalisasi. Namun dua ayat yang bercakap tentang pembunuhan sama ada kerana tekanan sosial atau akibat konflik besar yang berlaku antara manusia, kedua-duanya mengapit sepotong ayat yang amat berkait rapat dengan pembunuhan.
Firman Allah di dalam surah yang sama, Surah al-Israa’ di ayat yang ke 32:
“Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)” [al-Israa' 17: 32]
Ya, kedua-dua ayat yakni ayat ke-31 dan 33 mengiringi ayat 32 yang berupa larangan Allah terhadap kita mendekati zina.
Itulah perbuatan yang keji.
Perbuatan keji yang telah ditutup pintunya oleh Allah melalui pembetulan sosial melalui batas hubungan antara silang jantina, menjaga aurat, memelihara pandangan, dan sudah tentu pembetulan Aqidah, pandangan hidup dan sistem nilai yang mendasari perbuatan manusia.
Zina itu sudah ditutup pintu-pintunya melalui kepatuhan kepada peraturan itu.
Namun pintu zina kembali terbuka.
Dalam segala kemudahan yang diusahakan untuk manusia bergaul sesama mereka secara halal, yang HARAM itu juga menjadi pilihan.
Bermula dengan ruang chatting di internet, bertukar-tukar mesej prihatin dan nasihat, berpindah kepada ungkapan sayang dan perhatian, naik taraf kepada lonjakan keinginan untuk bertemu, dimulakan dengan makan minum mengambil angin, diuji dengan sentuhan tangan dan berakhir dengan ZINA.
ZINA bukan kesudahannya.
ZINA adalah permulaannya.
Bermulanya siri pembunuhan kejam. Berlaku saban hari. Zina dan pembunuhan mengalami normalisasi. Tidak pernah terbayang oleh pembuang bayi itu bahawa bayi itu mungkin dirinya 20 tahun yang lalu. Tidak…
MERAWAT DAN MENGHUKUM
Sukar untuk dibahaskan hal ini, pada memperkatakan telur atau ayamkah yang bersalah.
Namun semua pihak perlu saling bekerjasama bertindak menutup kembali pintu itu.
Jika diikutkan rasa marah, tentu sahaja marah kita membuak-buak. Kecewa, geram, dendam, semuanya boleh muncul apabila berita pembunuhan dan pembuangan bayi ini berlaku. Akan tetapi, meluahkan perasaan tanpa tindakan tidak akan sama sekali mengubah apa-apa. Tindakan membendung, merawat dan memulihkan ‘orang sakit’ yang terdiri daripada anak-anak muda, baik gadis mahu pun teruna, perlu digiatkan.
Terkenang saya kepada Raudhatus Sakinah (RS).

RS merupakan sebuah institusi yang ditubuhkan dengan inisiatif Jemaah Islah Malaysia (JIM) bertujuan memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja puteri yang menjadi mangsa gejala sosial ini. Tentu sahaja di satu peringkat, penubuhan badan seperti ini dipandang serong oleh masyarakat. Ia dianggap sebagai tempat yang memberikan kemudahan kepada pesalah laku untuk beroleh perlindungan.
“Makcik-makcik itu, merekalah yang jadi tukang bela si sundal dan anak-anak haram itu!” kata segelintir masyarakat.
Tidak mengejutkan.
Tetapi pandangan menghukum yang tidak seimbang dengan tindakan pencegahan, akan menyebabkan keadaan menjadi semakin buruk.
Ketika masyarakat lebih selesa mencari salah siapa,  jawapan kepada soalan itu sudah tidak mempunyai sebarang kegunaan. Masakan tidak, berdasarkan kepada laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!
Pertemuan dengan Puan Rosmawati Zainal, Pengarah Raudhatus Sakinah yang menjadi rakan panelis forum di Universiti Kebangsaan Malaysia kampus Kuala Lumpur baru-baru ini membuka banyak dimensi perbincangan untuk diketengahkan kepada khalayak. Modus operandi Zina diulas agar anak muda tidak meremehkan ‘langkah-langkah kecil’ yang nantinya boleh berakhir dengan Zina dan pembunuhan bayi. Tidak kurang daripada 30% penghuni cawangan Raudhatus Sakinah, adalah terdiri daripada pelajar IPT dan fenomena ini menjelaskan kepada kita bahawa pendidikan yang tinggi, bukanlah satu jaminan simplistik untuk mencegah daripada perlakuan Zina.
“Apa yang menyedihkan ialah, akhbar-akhbar gemar mensensasikan berita penzinaan ini,” kata Puan Rosmawati.
“Benar. Budaya memperincikan perlakuan jahat dengan gambar-gambar yang merangsang kepada zina, menjadikan liputan berita bukan bermaksud pendidikan tetapi menambahkan lagi segalanya” saya menyetujui kata-kata Ummi Ros tersebut.
“Sebab itu kami banyak menolak temuramah media. Tidak mahu anak-anak yang menghuni RS dijadikan bahan berita sensasi,” ujar Dr Ruziaton Hasim, Pengerusi RS Selangor yang hadir sama ke majlis itu.
“Apakan daya, alangkan tilam DSAI pun diheret tanpa malu. Liputan berita kes liwat juga mencetuskan keaiban yang amat membimbangkan!” saya teringatkan sesuatu.

Perbualan malam ini membawa saya kepada mengingati sebuah laporan akhbar di BBC baru-baru ini tentang kejadian buang bayi di masjid, sesuatu yang amat jarang berlaku di negara seperti England. Renungkan bentuk berita itu dilaporkan:
A newborn boy left at an Islamic centre in Staffordshire has died.

A newborn boy was left outside the Islamic Centre on Saturday

The baby was found wrapped in clothes at about 1030 GMT outside the centre in Beresford Street in the Shelton area of Stoke-on-Trent.
He was taken to the University Hospital of North Staffordshire where he was declared dead at 1230 GMT, Staffordshire Police said.
The area has been cordoned off while officers investigate. Anyone with information should call police.
Members of the Makki Mosque in Shelton who found the baby told BBC Midlands Today he was left on the steps of the Islamic Centre with a note attached saying “please help to bury him”.

Mother’s safety
A spokesman for Staffordshire Police said: “[We] were contacted by members of The Islamic Centre in Beresford Street in Stoke-on-Trent who had discovered a package outside the centre which they suspected contained a baby.
“Police attended and discovered a very young baby boy who was conveyed to University Hospital of North Staffordshire for treatment.
“Sadly at 1230 [GMT], despite the efforts of the medical team, the baby died.”
Police are appealing for the mother to come forward as she may be in need of urgent medical treatment.
Det Insp Dave Giles said: “I urge the mother to come forward so we can help her.”
Anyone with information is asked to contact Staffordshire Police or call Crimestoppers anonymously.
Kejadian seumpama itu amat jarang berlaku di negara seperti England.
Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan berhubung ‘rayuan’ pihak Polis kepada ibu bayi berkenaan. Polis merayu agar ibu kepada bayi tersebut tampil ke hadapan kerana beliau mungkin memerlukan kepada rawatan perubatan segera.
Bentuk laporan sangat berkesan dalam mengubah persepsi masyarakat tentang kejadian seperti ini. Laporan harus padat dengan penyelesaian dan bukan disensasikan sesuka hati. Teringat saya kepada tulisan-tulisan Wahid Kasran di Utusan Malaysia pada zaman 1990an dahulu. Beliau yang adakalanya digelar sebagai sasterawan seksualiti, menulis rencana yang bermatlamatkan pengajaran tetapi tepu dengan pengolahan yang merangsang libido mereka yang lemah iman.
Ini amat berbeza dengan saranan al-Quran.
Lihat kepada firman Allah:
“Setelah mereka pergi dengan membawanya (Yusuf) bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukannya), dan Kami pula ilhamkan kepadanya:” Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi)” [Yusuf 12: 15]
Para Ulama Tafsir menegaskan bahawa ayat ke-15 daripada Surah Yusuf ini menceritakan tentang tindakan adik beradik Yusuf mencampakkannya ke dalam perigi tanpa diperjelaskan bagaimanakah modus operandi konspirasi itu, adalah dengan hikmah yang besar. Allah Subhanahu wa Ta’aala tidak mahu orang yang lemah imannya belajar cara untuk melakukan jenayah dan maksiat melalui pembacaan ayat al-Quran. Sesungguhnya perbuatan memperincikan perlakuan jenayah adalah satu trend media yang mesti dimuhasabah kembali kerana di situlah maklumat diperolehi dengan mudah, bermula daripada jenayah zina, rogol dan samun, hinggalah kepada pembunuhan psikotik yang semakin berleluasa.
Seriuskah masyarakat kita berfikir dan bertindak mengatasi hal ini?
Semasa anda membaca artikel ini, mungkin seorang lagi anak luar nikah terjadi atau dilahirkan!
Inna Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG