Wednesday, February 24, 2010 By: biro dakwah JPP

Hikmah 'Aqidah Dari Ladang Fiqh Sirah Dr. Ramadhan al-Bouti



Dari segi akidah kepercayaan langsung tidak berubah sejak Nabi Adam 'Alaihi Wasallam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad Sallahu 'Alaihi Wasallam, Nabi yang terakhir, iaitu kepercayaan kepada ALLAH yang Esa.

Ini tegas sekali bila melihat di mana da'wah para Anbiya' seluruhnya bersendikan dua asas penting:

1) 'Aqidah kepercayaan
2) Perundangan dan akhlaq.

Ramai orang hari ini boleh menerima 'Aqidah dan Akhlaq Islamiyah, tapi terlalu ramai yang sombong dan jahil dari menerima dan mengakui kebenaran perundangan hanyalah dari ALLAH.

Bila kita meneliti dan mengkaji serta terus mengkaji tentang perjuangan para Anbiya', maka langsung tidak tergambar kepada kita yang seruan para 'Anbiya itu akan berlainan di antara satu dengan yang lain mengenai soal 'aqidah, sebab soal 'aqidah adalah soal berita dan perkhabaran dan tidak akan berlainan perkhabaran dan berita dari seseorang itu sekiranya perkara itu benar.

Tidak diterima oleh 'aqal manusia bahawa ALLAH telah menutus seorang Nabi mengatakan ALLAH itu tiga-Maha Suci ALLAH, kemudian diutuskan seorang Nabi lain mengatakan bahawa ALLAH itu Esa dan kedua-dua perkhabaran itu kemudian dianggap benar belaka. Ini tidak mungkin berlaku.

Ini bersangkut dengan 'aqidah, bersangkut tasyri' (perundangan) . Perundangan (ahkam) ini pula bertujuan mengatur penghidupan sesebuah masyarakat (Masyarakat yang mahu bebas dari agama akan benci kepada pengaturan kearah kebaikan, mereka dan kita sentiasa lupa segala-galanya adalah aturan ALLAH. Kita yang sombong dari merujuk kepada Kitab ALLAH dan Rasul-Nya buat panduan hidup).

Peribadi manusia adalah berbeda kualiti dan kuantitinya sesuai dengan pengutusan seseorang Nabi itu, sebab tasyri' itu bukanlah untuk menyampaikan perkhabaran dan berita semata-mata, tetapi bertujuan untuk mengadakan dan mewujudkan masyarakat yang sempurna.

Sudah barang pasti dimana masa dan keadaan sesuatu kaum itu memberi kesan dan pengaruh-pengaruh terhadap perkembangan perundangan sebab timbulnya undang-undang itu adalah demi muslihat dan kepentingan serta faedah manusia untuk dunia dan akhirat.

Dengan 'aqidah inilah juga ALLAH mengutus Nabi Musa kepada keturunan Israel di mana ALLAH telah menceritakan tentang ahli sihir Fir'aun yang telah beriman dengan Nabi Musa. Firman ALLAH yang bermaksud :

"Ahli-ahli sihir itu menjawab: sesungguhnya kepada Tuhanlah kami kembali. Dan kamu tidak membalas dendam dengan menyiksa kami, melainkan kerana kami telah beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami. Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan menyerah diri kepadaMu " (Surah al-A'raf 7: 125-126).


*Petikan Fiqh Sirah 1. Muka surat 34-38. (Terbitan Dewan Pustaka Fajar).


Maka bersabarlah duhai yang beriman jika kamu diuji, ditikam dari belakang, dikutuk sepuas hati golongan-golongan yang jahil tentang kejahilan mereka, dikeji, difitnah, disalah fahami. Ingatlah syurga itu manis, pasti pahit sekali harga yang perlu kita bayar kan? Ingatlah akhlaq Baginda bila dilontar dengan batu dan dihalau keluar dari Thoif. Baginda hanya mendoakan hidayah buat kaum-kaum Thoif walaupun ditawarkan oleh Malaikat untuk menghancurkan kampung Thoif itu.


0 comments:

Post a Comment