Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Monday, May 31, 2010 0 comments By: biro dakwah JPP

Penipuan Kerap Dalam Perniagaan, Kerjaya, Universiti & Sekolah : Awasinya



Soalan : 


Assalamualaikum wrt wbh,
Al-fadhil ustaz, saya pernah memohon pekerjaan di sebuah syarikat dan syarikat menetapkan jika saya mempunyai sijil, maka gaji minimum yang akan saya terima adalah sebanyak RM xxxx, jika saya mempunyai pengalaman tapi tidak punyai sijil, gaji minimum bermula dari RM xxx , sekiranya saya tidak punyai kedua-duanya, gaji bermula dengan RM xxx.
Sya tiada sijil, tapi bolehkah saya meletakkan dalam resume saya pengalaman-pengalaman yang tidak pernah saya perolehi demi untuk memulakan kerja dengan gaji yang tinggi sedikit?.
Satu lagi, ada rakan-rakan saya yang membeli sijil-sijil sarjana muda dari ejen-ejen tertentu. Ia sememangnya keihatan asli, adakah ianyaa dibenarkan?
Al-Hulu

Jawapan

Saya kira jawapannya adalah cukup mudah untuk dijawab bagi pembaca web saya ini. Sudah tentu ia diharamkan oleh Islam kerana apa yang dilakukan adalah termasuk dalam bab penipuan.
Bentuk penipuan sememangnya amat banyak. Sebagai asas pengharaman Allah SWT berfirman :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلاَّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu" ( An-Nisa : 29)
Harta yang diperolehi dari aktiviti penipuan adalah haram. Islam mengharamkan seluruh bentuk penipuan, baik dalam masalah jual-beli, mahupun dalam pelbagai jenis macam mu'amalah.
Seorang muslim dituntut untuk berlaku jujur dalam seluruh urusannya, Sebab keikhlasan dalam beragama, nilainya lebih tinggi daripada seluruh usaha duniawi.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Dua orang yang sedang melakukan jual-beli dibolehkan tawar-menawar selama belum berpisah; jika mereka itu berlaku jujur dan menjelaskan (ciri dagangannya), maka mereka akan diberi barakah dalam perdagangannya itu; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (ciri dagangannya), barakah dagangannya itu akan dihapus." (Riwayat Bukhari)
Dan baginda juga bersabda:
"Tidak halal seseorang menjual suatu perdagangan, melainkan dia harus menjelaskan ciri perdagangannya itu; dan tidak halal seseorang yang mengetahuinya, melainkan dia harus menjelaskannya." (Riwayat Hakim dan Baihaqi)
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ  مَرَّ على صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فيها فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فقال ما هذا يا صَاحِبَ الطَّعَامِ قال أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يا رَسُولَ اللَّهِ قال أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ الناس من غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي
Ertinya : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini? Ia menjawab: Kena hujan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! Sebab barangsiapa menipu kami, bukanlah dari golongan kami." (Riwayat Muslim, 1/99)
Antara penipuan dalam bentuk semasa adalah seperti berikut :-
1) Mengupah dan berpakat dengan rakan untuk membeli dan memuji barangan jualan sendiri di hadapan pelanggan, dengan niat untuk mempengaruhinya dan meyakinkan kebaikan barang yang dijual. Ia disebutkan pengharamannya di dalam hadis Nabi SAW :-
ولا تَنَاجَشُوا
Ertinya : dan janganlah kamu melakukan tipu helah naik harga jenis ‘najash'" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/752)
Menurut penafsiran Ibnu Abbas ‘Najash'  adalah : "Engkau (berpakat) bayar harga barang itu lebih dari harga biasa, yang bukan sebenarnya, tetapi dengan tujuan supaya orang lain menirunya." Cara ini banyak digunakan untuk menipu orang lain. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Al-Qaradawi)
2)  Membeli sijil universiti bagi menunjukkan diri berkelayakan tetapi sebenarnya hanya penipuan. Ada juga yang membeli gelaran ‘Dr' dan ‘Profesor' bagi mendapatkan keistimewaan dan kemulian tertentu di dalam masyarakat. Ia juga adalah haram secara sepakat ulama  sudah tentu disebabkan 'penipuan'.
3) Mencipta jawatan-jawatan terentu di dalam ‘resume' bagi menunjukkan kononnya diri berpengalaman. Ada juga yang mereka cipta gelaran 'Dr' untuk melakukan lagi kursus motivasi dan diri masing-masing bagi menaikkan dirinya di mata pelanggan. Berfungsi sebagai motivator, kosultan dan 'pakar' tetapi hakikatnya  inilah manusia yang tiada keyakinan diri, terpaksa bergantung kepada penipuan untuk terus hidup dan laku. 
4)  Mencipta dan meminda slip-slip gaji sendiri bertujuan untuk mendapat gaji yang diinginkan dari majikan baru.
5)  Meminta orang lain membuatkan karangan atau apa juga tulisan yang diperlukan untuk mendapatkan sesuatu kerja. Ia satu penipuan kerana syarikat ingin melihat kemampuan sebenar kita dan bukannya orang lain. Ramai yang suka melakukan tindakan ini, lebih malang lagi, agak ramai cerdik pandai memberikan bantuan kepada orang sebegini sedangkan ia adalah satu tindakan yang diharamkan oleh Islam kerana ia termasuk kategori membantu sesuatu penipuan. Lama kelamaan, rakan yang dibantu akan sentiasa mundur dan tidak berkembang kerana asyik mengharapkan kita membantunya.

Saya faham, bahawa adakalanya sukar untuk menolak kerana yang meminta bantuan adalah rakan baik kita atau adik beradik kita, tapi sedarlah tiada alasan untuk membantu penipuan ini. Jika yang dibantu itu berjaya kelak, pihak majikan merasa kecewa dan tetipu kerana prestasinya tidak sebagaimana tulisannya.
6) Mengupah orang untuk menyiapkan tesis MA atau Phd untuk kita. Ia juga satu bentuk penipuan yang memberikan kesan kepada seluruh pendapatan hasil penipuan itu. Selain orang yang mengupah, orang yang bersedia untuk diupah dan menjalankan khidmat ‘tolong buat' ini juga dikira menipu dan pendapatannya adalah haram kerana membantu kepada perbuataan dosa.
7) Bagi para pensyarah universiti pula, meniru karya orang lain dalam kajian ilmiah tanpa menyebut nama dan buku rujukan adlaah satu jenis penipuan. Ia tidak dianggap satu penipuan jika ditulis oleh orang awam biasa kerana ia tidak bertujuan mendapat pengiktirafan akademik. Walaubagaimanapun penulisan oleh ahli akademik pada lazimnya dinilai sebagai satu bentuk 'prestasi peribadi' oleh pihak universiti, ia juga membolehkannya mendapat kenaikan pangkat serta gaji setelah mendapat merit tertentu dari ‘hasil kajian' mendalamnya. Justeru, jika hasil ini adalah hasil ciplak yang dibuat secara pintar serta berpura-pura kononnya itu adalah hasil buah fikriannya yang bijak sedangkan ia bukan darinya, ia juga adalah suatu penipuan yang diharamkan.
8) Mencipta testimoni yang mengakui kehebatan programyang dikendalikan atau barang yang dijual, sedangkan ia hanyalah rekaaan sendiri sahaja. Mungkin ramai akan terpengaruh hasil testimoni yang begitu hebat tadi padahal ianya hanyalah tiruan. Ketika itu, perniagaan orang ini menjadi hilang berkat dan haram pendapatannya.
9) Membodek para pensyarah universiti agar memberikan markah ‘kasihan' untuk lulus. Jika terdapat sebab musabbab yang utuh untuk pemberian markah maka ia mungkin menjadi harus dan halal, walaubagaimanapun tetapi jika ia diberikan tanpa hak dan justifikasi yang boleh diterima Islam. Para pensyarah ini bakal menanggung tanggungjawab besar di akhirat kelak. Ini kerana, sijil yang dimiliki dianggap mewakili tahap kecekapan ilmu, kemampuan kajian dan minda seseorang dalam sesuatu bidang khususnya, jika pencapaian sijil itu dilakukan dengan ‘soalan bocor', ‘curi soalan' dan markah tanpa hak. Maka ia tidak layak memegang sijil itu, jika ia perolehi sijil itu. Semua orang kelilingnya akan tertipu dengan sijilnya itu, ia juga mungkin menyesatkan orang dengan sijilnya tadi. Awas.
10) Pensyarah yang membocorkan soalan dengan sengaja. Menurut kefahaman saya, ujian dan peperiksaan adalah sebuah ujian kemampuan pelajar dan ujian juga buat pensyarah yang mengajar, iaitu untuk melihat sejauh mana keberkesanan pengajarannya. Oleh itu, tidak dinafikan terdapat pensyarah yang bimbang peratusan gagal di kelas bimbingannya terlalu teruk, maka ia memberikan ‘soalan bocor' , dengan itu, tahap lulus akan meningkat dan bolehlah kelihatan dirinya sebagai pandai mengajar. Ia juga satu bentuk penipuan yang banayak berlaku samada di univeristi mahupun di sekolah. Semuanya adalah haram tanpa syak lagi.
11) Mencipta statistic palsu untuk menyokong kajian dan dakwaan yang dibuat, Jika ia digunakan untuk sebarang tujuan komersial dengan upah profesional, ia adalah pendapatan haram. Jika ia dilakukan untuk menarik kepercayaan orang kepada apa yang diungkapkan, ia juga adalah satu penipuan. Saya kerap mendengar, para motivator berkata : "Menurut kajian saya, begini...." Kita berharap ia adalah kajian sebenar dan bukan satu dua kes yang dijumpainya.
Ibnu Sirin pernah menjual seekor kambing, kemudian dia berkata kepada si pembelinya: 'Saya akan menjelaskan kepadamu tentang ciri kambingku ini, iaitu kakinya cacat.'
Begitu juga al-Hassan bin Shaleh pernah menjual seorang hamba perempuan (jariyah), kemudian ia berkata kepada si pembelinya: "Dia pernah mengeluarkan darah dari hidungnya satu kali."
Walaupun hanya sekali, tetapi 'jiwa seorang mu'min merasa tidak enak kalau tidak menyebutkan cacatnya itu, sekalipun berakibat menurunnya harga.
Justeru, eloklah kita berfikir kembali pendapatan kita, samada ia halal atau haram. Kerjaya kita samada ia datang dengan sijil dan jawatan palsu atau benar. 
Ke Kubur Juga Akhirnya
Kekayaan, pangkat dan kebesaran yang dikecapi adalah sementara sahaja, amat jaranag kenikmatan semenatar ini mampu dikecapi melebihi 60 tahun. Justeru, mengapakah kita masih lagi terlalu ghairah untuk mengumpulkannya tanpa mengira haramnya. Malangnya diri yang terlupa kematiannya penamat segala kenikmatan dunia.  Justeru carilah harta dari yang HALAL sahaja.
Nabi SAW bersabda :-
أكثروا ذكر هاذم اللذات الموت
Ertinya : "Perbanyakkanlah ingatan kepada pemutus segala nikmat (dunia) iaitu MAUT" ( At-Tirmidzi, 4/553 ; Ibn Hibban, 7/259 ; Imam Tirmidzi : Hadith Hasan Ghorib)




Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
5 Jumada Akhir 1427 H
20 Jun 2

Remaja Dulu vs Remaja Kini





Remaja dahulu...

Abbas: Assalamualaikum!
Umair: Waalaikumussalam!
Abbas: Anta tengah buat ape tu?
Umair: Oh, ana tengah cube nak fahamkan satu ayat dari surah As Soff ni... Anta tahu tak sape2 yang lebih a'rif tentang ni...
Abbas: Ha!! Ape kate anta tanye Ustaz Hassan...


Remaja Kini...

Titt..titt..titt..
Amir: Wei.. Pick!! Ko tengah buat ape tu??!!
Syafiq: Haha... Ko ni buat tak tahu plak...
Amir: Tengah layan awek la tu...
Syafiq: Ha!! kau memang kawan sejati aku...
Amir: Wei... Pick!! Takkan kau seorang je ade awek... aku nak gak!! Tak 'cool' la muka 'handsome' tapi takde awek...
Syafiq: Ha.. takpe-takpe... Nanti aku suruh awek aku carikan untuk kau...



Remaja Dahulu...

Ammar: Assalamualaikum.. Tuan!! Saya nak daftar untuk sertai peperangan yang akan datang..
Tuan Khalid: Waalaikumsalam! Berapa umur anta??
Ammar: 15 tahun..
Tuan Khalid: Ana minta maaf sangat sebab anta masih belum cukup umur untuk sertai peperangan...
Ammar: Ala... Tolonglah Tuan... Ana merayu!!
Tuan Khalid: Maaf la dik... Ana tidak boleh terima anta...
[di tebing sungai]
Ammar:  ......
Hussein: Salam, Ammar! Kenapa anta menangis ni??
Ammar: Ana tidak diterima untuk sertai perperangan...
Hussein: Takpe... Anta bersabarlah... Ana yakin sampai masanya nanti anta akan diterima, InsyaAllah....


Remaja Kini...

Arif: [menyanyi]
Juri: Maaf Arif anda tersingkir...
[di rumah]
Bang!!
Arif:.......
Akil: Ee... Apahal mengamuk tiba-tiba ni??
Arif:........
Akil: Ooo.. Kau tersingkir dalam uji bakat AF9 ye?!!
Arif:.......
Akil: Ala.. Takpe, tahun ni bukan rezeki kau, tahun depan cube la lagi...
 



Remaja Dahulu...

[Maghrib]
Allahuakbar!! Allahuakbar!!...
Ibrahim: Eh dah azan la!! Jom, cepat..nanti lambat... Kene masbuk pulak..
Hamzah: Eh ha'ah la... Kejap-kejap, tunggu ana...

[Sebelum Subuh]
Hafiz: Ahnaf! Bangun! Anta nak qiam tak??
Ahnaf: MUAAH!(menguap).. Sekarang pukul barape??
Hafiz: Pukul 5..
Ahnaf: Ha?!! Kan ana suruh kejut pukul 4, nape anta tak kejut ana..
Hafiz: Maafla Ahnaf... Ana pun baru je bangun ni.. Takpe, masih ade mase lagi..
Ahnaf: okey...
 .


Remaja Kini...

[Maghrib]
Allahuakbar!! Allahuakbar!!
Alif: Eh dah azan la... Takpe la sikit je lagi cerita ni nak habis..
Ayah: Alif, ko nak ikut pergi surau tak??
Alif: Err... Kejap lagi la, ayah pergi la dulu...
Ayah: Hai engko ni... Takkan tiap-tiap hari nak masbuk, asyik dengan cerita kat TV tu..
Alif: Ye laa..

[Subuh]
Zzzzzzzzzz......
Mak Mah: akim!! Bangun!! Ko da solat subuh ke belum??
Hakim: MUAAH!!(menguap).. Ngantuknye!! Ala,mak baru pukul 6.. Subuh habis pukul 6.59..
Mak Mah: Pukul 6 ape bendenye?!!! Sekarang dah pukul 7.30 la.. Bangun!!!!
Hakim: MUAAH!!(menguap).. Ye laa...
 




Remaja Kini...


Remaja...
Dimanakah mereka??
Dimanakah mereka ketika ini??
Yang dimana pada suatu hari nanti,
Kan mentadbir dunia ini,
Suatu hari nanti...


Remaja kita,
Telah ditipu dunia yang fana,
Lalai dan leka,
Dari mengingatiNya...


Hancurlah dunia!!
Hancurlah Islam!!
Jika dirimu sebegini rupa,
Remaja Islam kini,
Hubbu dunia bermaharajalela,
Hubbu akhirat kau palingkan,
Dihanyut ombak penipuan,
Oleh manusia bertopengkan syaitan...


Duhai remaja...
Bangunlah,
Bangunlah remaja,
Dari tidurmu yang lagha,
Ayuh bangunlah,
Ayuh kembalilah,
Ke pangkal jalanNya,
Ayuh!!
Lahirkanlah generasi dahulu..


Insaflah!!
Ayuh bangkitlah!!
Engkau harapan dunia,
Tegakkanlah sinar harapan..


AYUH!!
Bangkitlah remaja harapan dunia,
Buktikanlah keluhuranmu,
Buktikanlah,
Generasi dahulu,
Telah kembali,
Bebaskanlah dirimu,
Dari kejahilan yang membelenggu,
Ayuhlah remaja!!
Kita berjihad di medan ujian,
Sanjunglah panji-panji keimanan,
Kerana disana menanti syurga idaman,
Duhai Remaja Harapan.


www.iluvislam.com
Oleh: Hudaukhwah
Editor: RosNiza Abdullah

Monday, April 12, 2010 0 comments By: biro dakwah JPP

Ke Gereja untuk ke MASJID

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlaah. Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasoolullaah!” saya melafazkan syahadah.
Laura mengulang bilah-bilah kesaksian itu dengan penuh kesungguhan.
“Alhamdulillah. Welcome back, sister!”, saya menadah tangan mengucap syukur.
Laura menangis.
Bukan sedih.
Tetapi riak wajahnya menampaknya suatu kelegaan yang besar.
Pagi itu Laura telah mengisytiharkan keIslamannya di hadapan saya dan beberapa warga masjid, termasuk beberapa muslimat yang saya jemput untuk meraikan Laura.
Thank you, Imam. I feel so blessed that no word can describe my feeling right now. I can’t believe that I am now a Muslim. Finally!” kata Laura.
Saya sendiri berasa sebak dan terharu.
Selepas beberapa kali berutus soal jawab melalui telefon, pagi itu Laura nekad untuk melafazkan syahadahnya. Saya mengalu-alukan ‘kepulangan’ beliau dengan ucapan ‘Welcome back‘, kerana mahu mengangkat hakikat yang diterangkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam bahawa setiap insan itu dilahirkan fitrah.
Muslim by nature.
JALAN DATANG KEPADA ISLAM
“Izinkan saya bertanya, apakah yang mengundang nekad kamu untuk memeluk Islam pagi ini?” saya cuba mendapatkan cerita. Ia perkara biasa setiap kali ada saudara baru yang memeluk Islam. Saya suka meneliti kisah-kisah mereka kerana ia berguna untuk muhasabah dakwah saya.
“Imam pun tahu yang saya memang sudah agak lama cenderung kepada Islam, bukan?” tanya Laura kepada saya.
Saya mengangguk.
Semenjak lebih 6 bulan, Laura sudah berhubung dengan saya. Beliau merupakan pelajar Biologi di universiti berdekatan. Kajian-kajian Laura tentang hal-hal berkaitan evolusi membawa beliau dekat kepada Islam. Beliau terperangkap di antara peperangan Creationist Christian dan Evolutionist yang sering bernada Atheist.
Tetapi Laura tidak punya kekuatan untuk melakukan hijrah.
Banyak perkara yang dipertimbangkannya, terutamanya aspek sosial. Sanggupkan dirinya melakukan perubahan dan bagaimanakah penerimaan keluarga dan rakan… ini merupakan isu besar buat Laura.
Saya mengambil inisiatif menemukan Laura dengan Hannan, iaitu isteri kepada majikan saya yang juga merupakan seorang Irish Muslim. Lanjutan daripada itu, Laura ditemukan dengan beberapa orang lagi Irish Muslim, yang meyakinkan beliau bahawa beliau tidak bersendirian dengan hijrah yang bakal dilakukannya nanti.
“Tetapi, saya mendapat kekuatan itu akibat peristiwa malam tadi!” kata Laura.
“Apa yang berlaku?” saya ingin tahu.
“Malam tadi kami sekeluarga ke gereja untuk menghadiri mass bersempena dengan Hari Ibu. Ajaib sekali, ceramah yang disampaikan oleh paderi di gereja itu sungguh mengesankan. Saya asyik mendengarnya malah ahli gereja yang lain juga begitu mengaguminya” cerita Laura.
“Selepas selesai majlis, seperti biasa paderi berdiri di pintu gereja, bersalaman dengan kami semua. Apabila tiba giliran, saya mengucapkan tahniah kepadanya atas ceramah beliau yang sungguh hebat” sambung Laura.
“Wah bagus begitu. Jarang sekali Imam masjid menghargai mereka yang hadir ke masjid sedemikian rupa. Saya juga harus mengamalkannya!” saya mencelah.
Laura dan hadirin yang lain ketawa.
“Apa isi ceramahnya?” saya mahukan kepastian.
“Oh, ceramah malam tadi ialah tentang hubungan ibu dengan anak, dari kandungan hingga penyusuan dan kepentingan menyusukan anak sendiri” kata Laura.
Saya mengangguk. Jemaah yang lain juga khusyuk mendengar.
“Lalu saya beritahu paderi tersebut: tahniah, kerana ceramah awak yang sangat bagus. Cuma, saya ingin tahu, pernahkah tuan membaca apa-apa dari Quran, buku orang Islam, tentang tajuk yang dibentangkan tadi?” cerita Laura lagi.
Saya khusyuk mendengar cerita Laura. Beliau memang pengunjung setia gereja. Tetapi aturan Allah sedikit berbeza. Setiap kehadirannya ke gereja, menjadikan beliau semakin hampir kepada masjid.
“Paderi itu membisikkan ke telinga saya bahawa sebenarnya beliau mengambil keseluruhan inti ceramahnya daripada al-Quran! Beliau tidak bertemu dengan keterangan sebaik keterangan al-Quran tentang topik tersebut” tegas Laura.
“Allah!” saya mengurut dada.
alanaam114.jpg
“Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu” [Al-An'aam 6: 114]
“Saya sangat terkejut dengan statement beliau. Hampir rebah saya dibuatnya. Apabila saya kembali ke rumah, emak dan ayah masih lagi bercerita tentang kehebatan ceramah paderi di gereja tadi. Saya beritahu mereka apa yang paderi itu sendiri nyatakan kepada saya” sambung Laura.
“Bagaimana reaksi keluarga anda?” saya bertanya.
“Mereka sangat terkejut dan emak saya ketakutan kerana dia tahu kecenderungan saya kepada Islam” jawab Laura.
“Saya sudah lama meyakini kebenaran Islam. Kata-kata paderi itu malam tadi telah memberikan satu-satunya yang saya perlukan untuk menjadi Muslim, iaitu kekuatan. That’s it. I am now a Muslim and I will declare my faith tomorrow!” kata Laura dengan penuh yakin.
Beliau menganggap dirinya telah menjadi Muslim semenjak malam tadi. Tetapi beliau datang ke masjid agar keIslamannya disaksikan oleh pihak masjid untuk maslahah-maslahah yang sedia maklum.
SECEBIS KISAH
bsn.jpg
Itulah kisah daripada siri peristiwa saya menguruskan proses menerima Islam oleh warga Ireland selama saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Northern Ireland.
Kebanyakan mereka yang memeluk Islam di Ireland, melakukannya hasil kajian dan pembacaan sendiri. Lazimnya, saya hanya membantu menyelesaikan beberapa isu berbaki sebelum mereka mengambil keputusan untuk memeluk Islam.
Sebagai seorang Muslim yang juga Imam di masjid tersebut, tentu sahaja saya bergembira dan bersyukur dengan perkembangan ini, khususnya selepas insiden 11 September 2001. Namun apa yang lebih menggembirakan saya, ialah hakikat integrasi, keterbukaan dan komitmen kepada dialog menjadikan usaha dakwah subur di bumi Eropah.
Saya yakin, jika umat Islam di negara ini memperbaiki identiti mereka agar lebih mudah didekati, bercakap dengan rasional tanpa dikaburkan oleh sentimen dan emosi, maka jalan untuk penyebaran Islam akan terbuka dengan lebih luas.
Kita tidak perlu terlalu terburu-buru mahu mengIslamkan sesiapa, sebaliknya harus banyak menumpukan perhatian kepada menerangkan tentang Islam secara baik kepada mereka yang mencari. Tumpuan kepada berhujah dan berdakwah untuk menyebarkan kebaikan serta kebenaran adalah lebih sejahtera daripada usaha mengIslamkan non Muslim secara tergesa-gesa seolah-olah urusan itu demi kepentingan kita, dan bukannya dia, dan ALLAH.
Malah kita juga harus memberi galakan agar masyarakat Kristian kembali ke gereja. Biar Buddha dan Hindu kembali rajin ke kuil mereka. Selain mengembalikan fungsi agama pada membaikkan manusia, menghargai agama, menjadikan mereka semua setapak lebih hampir kepada Islam. Materialisma yang menjadi anutan manusia hamba duit dan harta, sangat membutakan kehidupan seperti kisah Sahib al-Jannatain di dalam Surah al-Kahf ayat 32 hingga 46.
Jika mereka menerima Islam dan terbuka hatinya untuk memeluk Islam, maka setinggi-tinggi syukur kita lafazkan.
albaqarah256.jpg
“Tiada paksaan di dalam agama” [Al-Baqarah 2: 256]
Jika mereka tidak memeluk Islam, penerangan dan hujah yang disampaikan melalui dakwah dan pendidikan tetap berguna menjauhkan mereka daripada permusuhan membuta tuli terhadap Islam dan seterusnya lebih ‘dekat’ dengan kita, biar pun tidak atau belum bersama.
Kira-kira sebulan selepas memeluk Islam, Laura telah mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan Ali, seorang sahabat yang berasal dari Libya. Saya telah mengurus dan mengakadkan nikah mereka dengan nasihat agar Ali terus membimbing Laura dengan nasihat agama dan wasiat iman.
Berikan komitmen kepada dakwah, itu tugas yang kita warisi daripada Rasulullah..
Wa saLlallahu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘alaa aalihi wa sahbihi wa sallam. Walhamdu liLLaahi Rabb al-’Aalameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Ingin berkongsi usaha menggerakkan server Saifulislam.Com? Perkongsian anda kami dahulukan dengan ucapan jazakumulaahu khair al-jazaa'




© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang, Selangor
Friday, April 2, 2010 1 comments By: biro dakwah JPP

FACEBOOK: Photos & Tagging Yang Mengundang Dosa


Oleh: Abu Umair


Ketika mula-mula saya mendaftar dan menyertai laman rangkaian sosial Facebook, saya tertarik dengan satu fungsi dalam aplikasi ‘Photos‘ yang dikenali sebagai ‘Tagging‘. Mungkin dalam Bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai ‘penandaan’.

Fungsinya, pengguna Facebook yang muat naik gambar ke dalam album fotonya boleh melakukan ‘tagging‘ iaitu menanda pengguna-pengguna lain yang ada dalam gambar tersebut. Aturannya ringkas, semudah ABC, dan hasilnya gambar-gambar yang ditanda itu secara automatik akan masuk dalam senarai ‘Photos of‘ bagi pengguna lain yang ditanda.

Menariknya fungsi ‘tagging‘ dalam aplikasi ‘Photos‘ ini, ialah semua gambar-gambar yang dilakukan tagging kepada seseorang pengguna akan terkumpul di bahagian ‘Photos‘ di profile nya. Mungkin pengguna tersebut tidak pernah mempunyai atau melihat gambar yang ditagkan itu. Tetapi ‘tagging‘ membantu pengguna mendapatkan dan mengumpulkan gambar-gambarnya yang ada pada orang lain. Itu dari sudut positifnya.

Dari sudut yang lain, tagging adalah satu operasi penyebaran gambar kepada khlayak pengguna Facebook secara berleluasa. Lagi banyak nama-nama yang ditag pada satu-satu gambar, bererti makin ramai pengguna yang dapat melihat gambar tersebut. Contohnya, satu gambar ditagkan kepada 10 pengguna, dan setiap pengguna secara purata mempunyai 200 orang kawan atau ‘friends‘. Bererti sekurang-kurangnya 2000 pengguna dapat menatap gambar tersebut.

Jadi apa masalah dengan penyebaran gambar ini? Masalahnya ialah apabila gambar yang ditagkan kepada ramai pengguna itu mengandungi unsur yang tidak baik. Contohnya, pendedahan aurat atau lain-lain kandungan yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah.

Saya sedih melihat sebahagian rakan-rakan pengguna Facebook yang makin terhakis rasa malunya. Tidak segan memuat naikkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat lagi mengaibkan. Yang lelaki meletakkan gambarnya tanpa berbaju, memperagakan pusatnya, berseluar pendek, menampakkan pehanya. Yang perempuan meletakkan gambar sekumpulan anak dara waktu di asrama wanita dengan masing-masing berpakaian tidur mendedahkan rambut dan aurat lain.

Kemudian, gambar-gambar mengaibkan ini disebarkan pula dengan cara tagging kepada pengguna lain seberapa ramai yang boleh. Sekurang-kurangnya dia telah melakukan dua kesalahan.

Pertama: Memuat naikkan gambar yang mendedahkan aurat, dan memberi peluang kepada pengguna lain dari kalangan rakan-rakannya menatap gambar-gambarnya yang mendedahkan aurat. Hukumnya, rata-rata ahli fatwa berautoriti pada zaman kini berpendapat memperlihatkan gambar mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Ia termasuk dosa bantu-membantu dalam perkara maksiat.

Kedua: Menyebarkan gambar tersebut kepada rakan-rakan pengguna lain melalui fungsi ‘tagging‘, mendedahkan lagi gambar tersebut kepada khalayak pengguna yang lebih ramai. Dosanya lebih besar, kerana dia menjadi penyebab kepada berleluasanya satu maksiat kepada Allah. Kaedah dalam agama menyatakan orang yang menunjukkan kepada satu kejahatan, akan dibebankan dengan dosa tersebut dan dosa orang yang melakukannya.

Amat malang orang yang dibebankan dengan dosa yang banyak lagi berterusan, disebabkan oleh perbuatannya menyebarkan gambar yang demikian.

Saya menyeru kepada semua rakan-rakan pengguna Facebook, jika ada gambar-gambar yang dimuat naikkan mengandungi unsur yang mendedahkan aurat dan mengaibkan, wajarlah ia dipadam. Jangan memandang perkara ini satu isu remeh. Kerana resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.

TANDA-TANDA KIAMAT : SEDARLAH UMAT MANUSIA !!



1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan ).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui internet, iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.



4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.



14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.



Dunia Di Penghujung Nyawa


1) Penaklukan Baitulmuqaddis.


Dari Auf b. Malik r.a. katanya,Rasulullah s.a.w telah bersabda:"Aku menghitung 6 perkara menjelang hari kiamat.'Baginda menyebutkan salah 1 diantaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis"

-Sahih Bukhari-


2) Zina bermaharajalela.


"Dan tinggallah manusia2 yang buruk, yang seenaknya melakukanpersetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang"

-Sahih Muslim-



3) Bermaharajalela alat muzik.


“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan & perubahan muka'. Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab: “Apabila telah bermaharajalela bunyian(muzik) & penyanyi² wanita”

-Ibnu Majah-

4) Menghias masjid & membanggakannya.

“Di antara tanda2 telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegahan dalam mendirikan masjid”

-Riwayat Nasai-



5) Munculnya kekejian, memutuskan kerabat & hubungan dengan tetangga tidak baik.

'Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan & perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim & sikap yang buruk dalam
tetangga.'

-Riwayat Ahmad dan Hakim-



6) Ramai orang soleh meninggal dunia.

'Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang2 yang baik& ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang2 yang hina & buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran'

-Riwayat Ahmad-


7) Orang yang hina mendapat kedudukan terhormat.


'Di antara tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka'(orang yang ***** & hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh 2 orang mulia'

-Riwayat Thabrani-


8) Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.

'Sesungguhnya di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja.'

-Riwayat Ahmad-


9) Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. 'Di antara anda² telah hari kiamat ialah akan muncul pakaian² wanita & apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang'.


10) Bulan sabit kelihatan besar.

'Di antara tanda2 telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit.'

-Riwayat Thabrani-

11) Banyak dusta & tidak tepat dalam menyampaikan berita.

'Pada akhir zaman akan muncul pembohong2 besar yang datang kepadamu dengan membawa berita2 yang belum pernah kamu dengar & belum pernah didengar oleh bapa2 kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu & memfitnahmu'

-Sahih Muslim-

12) Banyak saksi palsu & menyimpan kesaksian yang benar.

'Sesungguhnya sebelum datang nya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu & disembunyikan kesaksian yang benar.'

-Riwayat Ahmad-

13) Negara Arab menjadi padang rumput & sungai.

'Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput & sungai-sungai'

-Sahih Muslim-

"Jangan setakat membaca tapi cubalah menghayati, jangan setakat tahu tapi cubalah mengamalkan apa yang dah tahu, jangan setakat fikirkan kebaikan untuk diri sendiri tapi fikirkanlah jugak kebaikan untuk orang lain terutama orang-orang terdekat yang disayangi."

Artikel ini diambil daripada :  http://ghuzwatulfikr.blogspot.com/